PETRA perkukuh keselamatan air, tenaga negara – Fadillah

KUCHING: Pencapaian Kerajaan MADANI mdelalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi tempoh 2024 dan 2025 mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh keselamatan air dan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu juga berjaya membangunkan infrastruktur yang lebih selamat dan mampan serta memacu transformasi sektor melalui AIR2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau yang juga Menteri PETRA berkata, usaha ini secara langsung menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050 demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini.

Fadillah berkata, di peringkat serantau, Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 mencatatkan pencapaian bersejarah melalui pelancaran Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026–2035 (APAEC) bagi fasa pertama (2026-2030).

Selain itu, pemeteraian Memorandum Persefahaman Dipertingkat Grid Tenaga ASEAN, pemeteraian Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (Perjanjian Pengganti), serta pelancaran Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN.

Pencapaian memberangsangkan itu dicapai melalui kerjasama strategik pelbagai agensi berkaitan dan semua pihak yang terlibat, tegas beliau.

Fadillah menegaskan, pencapaian ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah menyokong agenda kemampanan, keselamatan infrastruktur serta peralihan kepada ekonomi hijau.

Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) sepanjang tempoh itu, katanya, mencatatkan dua juta jam kerja tanpa kehilangan masa kecederaan, memenangi Anugerah Inovasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) – INNOZILLA melalui projek Multi-Pond Constructed Wetland System (MPCWS), serta mencipta dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Projek Papan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaksanakan 149 projek tebatan banjir yang melindungi seramai 1.77 juta penduduk, membangunkan 1,308 kilometer Denai Sungai Kebangsaan dan menjalankan pemuliharaan sungai sepanjang 2,663 kilometer, tegas beliau.