KUCHING: Pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat adalah satu pendekatan yang sangat baik bagi meningkatkan kadar rawatan kendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, selain itu untuk memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan individu yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Individu yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan mereka kebergantungan, ketagihan mahupun sebarang salahguna substans khususnya di Sarawak, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fatimah mengulas Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 yang dilulus di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu.
Menurut Fatimah, golongan penagih perlu ditangani sebagai klien atau pesakit yang memerlukan rawatan dan harus diberi peluang secara sukarela untuk menjalani pemulihan bagi menghapuskan stigma masyarakat.
Hukuman dalam institusi koreksional lebih sesuai sebagai langkah terakhir, khususnya bagi individu yang baru menyalahguna dadah melalui pendekatan pemulihan dalam komuniti, tegas beliau.
Selain itu, katanya, beban pendakwaan yang dipikul oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) oleh IPK Sarawak dapat dikurangkan dan JSJN akan dapat memberi fokus yang lebih kepada operasi mengurangkan bekalan dadah.
Beban dan kos di penjara juga dapat dikurangkan dan individu yang terjebak pula masih dapat bersama keluarga, bekerja serta menyumbang kepada ekonomi, dan mengintegrasikan diri dalam komuniti, tambahnya.
Hakikatnya, kata Fatimah, Sarawak bersedia mengubah dan menggunakan pendekatan baharu itu melalui pengurusan bersepadu iaitu Jawatankuasa Sehenti Bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (OSC).
OSC itu berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan termasuk AADK di peringkat negeri, bahagian dan daerah, katanya dan menegaskan, Kerajaan Sarawak mengakui dadah adalah sebagai isu keselamatan pada Julai 2020.
Beliau memberitahu dengan pindaan ke atas akta itu, anggota OSC akan dapat berkolaborasi dengan pertubuhan pemulihanan berasaskan masyarakat seperti Kenosis di Miri dan Victory Home di Sibu.
Pertubuhan terbabit juga, katanya boleh menggunakan sepenuhnya kemudahan di Pusat Intervensi dan Pembangunan Masyarakat (CDIC) dan setakat ini Sarawak memiliki CDIC di Bau, Oya dan Bekenu, katanya.
