KUCHING: Polisi Pelaburan Sarawak akan ditingkatkan bagi meningkatkan daya saing pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
Jelas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, meskipun polisi pelaburan sedia ada telah terbentuk, pihaknya sedang mengkaji sektor keutamaan dan teknologi yang diperlukan bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Sarawak.
“Kita mahu pelaburan yang masuk ke Sarawak menggunakan teknologi tinggi dan memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar.
“Sehubungan itu, beberapa sektor akan dipromosikan dan dasar tertentu akan dipertingkatkan,” katanya dalam Majlis Amanat Tahun 2025 Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) di sini, hari ini.
Kerajaan katanya, juga sedang mengkaji insentif pelaburan yang perlu diketengahkan bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing ke negeri ini.
Jelas Awang Tengah, Polisi Pelaburan Sarawak dijangka siap tahun ini dan akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dilaksanakan.
Dalam aspek keusahawanan, Kerajaan Sarawak turut memperkukuh dasar-dasar sedia ada bagi membantu perkembangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), katanya lagi.
“Kita sedar bahawa sektor PMKS amat penting dalam menjana ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan.
“Oleh itu, kita sedang memperbaiki ekosistem keusahawanan bagi memastikan usahawan tempatan lebih berdaya saing, terutama dalam era digital,” katanya.
Bagi mengukuhkan lagi pembangunan keusahawanan di Sarawak, kerajaan sedang bekerjasama dengan Bank Dunia dan pelbagai pihak berkepentingan.
”Ini akan memberi impak positif kepada sektor pelaburan dan keusahawanan negeri, selaras dengan matlamat Sarawak untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.”
Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak Timothy Ong.