Program Jelajah Belia Sarawak dekati ramai belia akar umbi

BINTULU: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak telah menganjurkan program Jelajah Belia Sarawak di 33 daerah dengan penyertaan lebih 25,000 belia sehingga kini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program ini merupakan inisiatif kerajaan untuk mendekati belia di akar umbi termasuk luar bandar dan pedalaman.

“Ini juga memberi peluang penyertaan dalam aktiviti bermanfaat, memupuk jati diri serta semangat kepimpinan di samping mengurangkan jurang pembangunan agar tiada belia yang tercicir dalam arus kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penutupan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Suarah Bintulu, di sini, semalam.

Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 diadakan dari 13 hingga 19 Oktober yang menampilan tiga aktiviti utama dengan 16 pengisian program iaitu Youth Champion, Youth X-Tive dan Youth Marketplace.

Sementara itu, anak jati Kuching, Shahradhi Libiki Iskandar Ridhuan (33 tahun) merangkul Anugerah Belia Sarawak 2025 (Kategori Individu Lelaki).

Anugerah bagi Kategori Individu wanita pula menjadi milik Rapunzel Anthony Jamuh (28) dari Miri.

Saberkas Cawangan Satok pula muncul Johan Anugerah Persatuan Belia Sarawak 2025 manakala naib johan kategori sama dirangkul Kelab Iban Mansang Bawang Assan.