Program Lima Tahun Singat Gemilang jadi pelan hala tuju pembangunan pendidikan

SIBU: Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Singat menerima sumbangan sebanyak RM10,000 di Majlis Ngiling Tikai 2025 sekolah itu, di sini.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengumumkan sumbangan itu ketika merasmikan majlis terbabit sebagai simbolik penutupan Gawai Dayak peringkat sekolah anjuran SK Singat.

Ia diadakan dengan kerjasama PIBG SK Singat serta komuniti rumah panjang sekitar.

Ini sebagai tanda sokongan beliau kepada sekolah dan bagi membantu pelaksanaan program pendidikan, kebajikan pelajar serta aktiviti pembangunan sahsiah murid.

“Sumbangan ini diharap dapat memperkukuh usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan luar bandar secara inklusif,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Johnie turut menyatakan sokongan penuh terhadap Program Lima Tahun Singat Gemilang yang menjadi pelan hala tuju pembangunan sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid.

Beliau turut menggalakkan pelajar supaya terus menanamkan semangat belajar yang tinggi serta menghargai peluang pendidikan.