Projek Jalan Pasi ke Tanjung Manis dijangka siap Oktober tahun ini

SARIKEI: Projek pembinaan Jalan Pasi ke Tanjung Manis berharga RM321 juta kini mendahului jadual sebanyak 86 peratus.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek ini merangkumi pembinaan jalan sepanjang 17 kilometer (KM) termasuk jambatan merentasi Sungai Batang Rajang sepanjang 1.4km.

Katanya, projek dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sebelum ini mengalami kelewatan ekoran pendemik Covid-19 dan dijangka siap Oktober 2024.

“Apabila siap kelak akan mengurangkan masa perjalanan daripada dua jam setengah kepada hanya 45 minit sahaja dari Sarikei ke Tanjung Manis,” katanya.

Len berkata demikian ketika mengiringi Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo meninjau perkembangan terkini projek terbabit.

Hadir sama Residen Sarikei, Michael Ronnie Langgong serta Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin.