KUCHING: Pembinaan tiang bendera Ibu Pertiwi bernilai RM30 juta melibatkan pembangunan menyeluruh kawasan Dataran Ibu Pertiwi serta penggunaan teknologi mekanikal khas untuk mengendalikan bendera bersaiz besar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kos projek itu tidak wajar dibandingkan dengan tiang bendera di Kuala Lumpur atau Selangor kerana skop pembinaannya jauh lebih luas.
“Projek berkenaan turut merangkumi pembangunan dataran awam, laluan pejalan kaki serta penyediaan infrastruktur yang menghubungkan kawasan tersebut dengan Fort Margherita,” katanya selepas merasmikan Jualan Gedung Raya di Juma’ani Pavilion di sini, hari ini.
Beliau berkata, tiang bendera berkenaan menggunakan sistem mesin dan kren bagi menaikkan bendera gergasi seberat hampir dua tan, berbeza dengan kebanyakan tiang bendera lain yang hanya menggunakan sistem puli biasa.
“Dalam masa sama, kerja pembinaan berhampiran Fort Margherita memerlukan penggunaan kaedah micro-piling bagi mengelakkan gegaran yang boleh menjejaskan struktur kubu bersejarah itu.
“Projek tersebut dibiayai sepenuhnya melalui tanggungjawab sosial korporat oleh Petros, Petronas dan Shell, sekali gus menjadikan kawasan Petra Jaya sebagai mercu tanda baharu dan tarikan kepada pengunjung,” katanya.
