BETONG: Kerajaan Sarawak merancang menjadikan Tanjung Sebekut, Spaoh sebagai salah sebuah pusat pengeluaran padi utama negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.
Beliau berkata, dengan sasaran dua kitaran tanaman setahun, menggunakan teknologi moden termasuk sistem saliran dan pengairan yang lebih efisien.
Douglas merangkap ADUN Bukit Saban menekankan bahawa kejayaan projek itu bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti tempatan, dengan pelaksanaan dijangka bermula tahun hadapan.
“Kerajaan akan meneruskan siri libat urus bagi menjelaskan hala tuju pembangunan serta menangani sebarang isu berkaitan,” katanya semasa sesi dialog bersama pemilik tanah, pesawah dan petani di Dewan Masyarakat Spaoh baru-baru ini.
Selain fokus pertanian, beliau turut mengemas kini perkembangan projek infrastruktur di Betong, termasuk pemasangan lampu isyarat di Hospital Betong, MRSM Betong dan Simpang Lidong, serta cadangan pemasangan sistem pencahayaan di Jambatan Sungai Paku, Spaoh, yang dijangka siap hujung tahun ini.
Kerajaan berharap inisiatif tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran padi, malah turut memperkukuh ekonomi setempat melalui penggunaan teknologi dan latihan berterusan kepada pesawah, katanya.