KUCHING: Sarawak bakal memiliki Hospital Kanser yang direka untuk era Kecerdasan Buatan (AI), menjadikannya sebagai pusat kesihatan futuristik yang mampu menampung perkembangan teknologi perubatan masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, hospital baharu yang dijangka siap menjelang 2030 itu bukan sekadar bangunan biasa, tetapi akan mengintegrasikan teknologi digital dan AI dalam setiap aspek pengurusan dan operasi.
“Sebuah hospital yang dirancang sedekad lalu mungkin nampak moden, tetapi belum tentu sesuai dengan keperluan AI pada masa depan,” katanya selepas Majlis Perasmian Simposium Kanser Hati, Pankreas dan Saluran Hempedu Borneo 2025, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) serta pakar teknologi digital untuk memastikan reka bentuk hospital ini fleksibel dan bersedia menghadapi perubahan pesat dalam sektor kesihatan.
Dr Sim menekankan bahawa persiapan awal amat penting kerana AI akan terus berkembang.
Beliau turut menghargai sokongan Kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan pelaksanaan projek Hospital Kanser Sarawak.
Selain itu, pembinaan hospital berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk membangunkan sistem kesihatan Sarawak yang holistik.