LUNDU: Projek bina baharu Masjid Ikhwanil Muslimin sudah siap dan mula digunakan penduduk Kampung Sekambal di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, projek itu bernilai RM2.3 juta.
“Setiap kampung juga boleh memohon untuk pembinaan masjid atau surau jika tiada masalah tanah untuk pembinaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis tahlil Almarhum Pehin Sri Adenan Satem dan penyampaian sumbangan masjid, surau dan lain-lain penempatan sempena Ramadan di Masjid Noorul Islam Daerah Kecil Sematan, di sini, semalam.
Di majlis itu, sebanyak 16 masjid dan 25 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima sumbangan peribadi beliau dan keluarga keseluruhan berjumlah RM28,500 sempena Ramadan ini.
Selain itu, Azizul memberitahu, projek baik pulih masjid dan surau di sini, menerusi peruntukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof akan dilaksanakan pada tahun ini.
Katanya, projek itu akan dipantau oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL ).
Hadir sama Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha, Pengerusi Masjid Noorul Islam Sematan, Wasli@suip Mos. Wakil LAKIL, Kaunselor Fatimah Abdullah dan Ismail Jibi.