RUU Sewa Beli: Pemantauan berterusan lindungi pengguna – Rodiyah

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 disertai penguatkuasaan yang teliti dan pemantauan berterusan agar matlamat asalnya tercapai.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pemantauan itu untuk melindungi pengguna, memperkukuh keadilan kontrak, meningkatkan ketelusan pasaran dan menjamin keterangkuman digital di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pindaan RUU ini, selain memperkukuh perlindungan pengguna juga memastikan undang-undang negara kekal relevan dengan realiti ekonomi digital dan amalan pasaran semasa,” katanya semasa membahas RUU Sewa Belia (Pindaan) 2025 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Rodiyah yang menyokong RUU itu menegaskan, antara pindaan penting ialah kaedah pengiraan caj terma baharu berasaskan kadar faedah efektif menggantikan kaedah lama yang sering berat sebelah terhadap penyewa.

Beliau menyambut baik pindaan melalui Fasal 7 dan 9 yang membolehkan pendigital penuh perjanjian sewa beli termasuk pemeteraian kontrak dan penyampaian dokumen secara elektronik.

“Saya turut menyokong peruntukan baharu yang mengiktiraf dokumen elektronik dan e-tandatangan sebagai sah di sisi undang-undang selaras dengan Akta Perdagangan Elektronik 2006,” tegas beliau.

Namun isu keselamatan data dan kesahihan persetujuan digital, tambahnya, perlu diberi perhatian serius terutama bagi pengguna berusia dan penduduk luar bandar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar KPDN bersama MAMPU dan CyberSecurity Malaysia memastikan sistem e-kontrak dilengkapi dengan pengesahan biometric, integrase MyDigital ID dan pematuhan ketat terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).