SABERKAS platform lahirkan beliaberdaya tahan, berintegriti

LIMBANG: Lebih ramai belia kawasan Bukit Kota diharap bergiat aktif dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang berkata, ini kerana peranan SABERKAS bukan sahaja dalam penganjuran aktiviti sosial dan kemasyarakatan, tetapi juga sebagai platform untuk melahirkan pemimpin belia yang berdaya tahan, berwawasan dan berintegriti.

“Saya berharap lebih ramai belia di kawasan Bukit Kota untuk bergiat aktif dalam SABERKAS, kerana ia wadah terbaik untuk membentuk jati diri dan menimba pengalaman kepimpinan dalam suasana berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Cawangan Bukit Kota 2025 di Stadium Tertutup Limbang di sini, semalam.

Karnival kali ini menampilkan acara sukan bola tampar, petanque, badminton dan futsal.