Safiee bangkitkan 12 isu DUN Daro

KUCHING: Sebanyak 12 isu spesifik melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro dibangkitkan pada persidangan DUN Sarawak di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, isu-isu itu ialah berkaitan hakisan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa, Daro dan telah dipersetujui bangunan sekolah sementara berkonsepkan kabin dibina di tapak baharu.

“Sehingga sekarang, saya masih belum dapat perkembangan terkini tentang keputusan ini,” katanya.

Safiee berkata isu kedua ialah memperkasa Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dengan Kementerian Pendidikan perlu yakin kepada kewibawaan dan keupayaan PPD membuat keputusan khususnya yang melibatkan sekolah.

Katanya, isu ketiga ialah diharapkan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mempercepatkan pelaksanaan projek Rumah Spektra Permata (RSP) dan isu keempat ialah projek Klinik Kesihatan Daro belum dapat dilaksanakan kerana rekabentuk belum dimuktamad antara agensi pelaksana dan Kementerian Kesihatan.

Safiee berkata, isu kelima ialah projek sakit iaitu Jalan Sg. Passin ke Kg. Jemoreng, Daerah Matu dan projek Menaiktaraf Jalan Bawang Assan/ Tanjung Manis/ Sg Illas/ Kpg Sebena (Fasa II), Daerah Meradong, Bahagian Sarikei.

Selain itu, isu memohon kenaikan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada RM 7 juta setahun, peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) ditambah tahun depan, stesen pertanian di luar bandar dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diperkasakan dan pertubuhan belia untuk belia mengetengahkan bakat, kreativiti keusahawanan dan daya kepimpinan.

Isu-isu lain ialah mewartakan kawasan tadahan air bagi bekalan air bersih daerah Daro dan Matu, cadangan mengkaji termasuk melaksanakan “reform” struktur perkhimatan awam negeri dan satu model latihan dan pendidikan dirangka bagi memperkasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).