KUCHING: Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai ini (esok) harus djadikan pembakar semangat untuk menyemarakkan perasaan kasih sayang dan setia kepada Bumi Kenyalang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohd. Razi Sitam berkata, selain itu, sambutan Hari Sarawak juga perlu dijadikan wadah untuk mempertahankan kestabilan dan keutuhan perpaduan rakyat.
Dalam kemeriahan meraikan sambutan Hari Sarawak itu, rakyat pula jangan lupa untuk mengenang jasa pemimpin terdahulu yang banyak berkorban demi memastikan kestabilan dan kemajuan negeri ini, katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Sarawak 2025 hari ini.
Mohd. Razi yang juga ADUN Saribas menyifatkan sambutan Hari Sarawak sebagai simbol patriotik warga Sarawak dan menyemai rasa sayang kepada Bumi Kenyalang sebagai sebuah wilayah terbesar dalam pembentukan Malaysia.
“Dalam kepelbagaian budaya dan latar belakang, kita adalah satu komuniti yang bersatu demi masa depan Sarawak yang stabil dan maju makmur,” katanya.