KUCHING: Sarawak komited membantu peralihan kepada tenaga bersih di Asia Tenggara, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, bersama dengan Kalimantan, Indonesia, Sarawak berpotensi menjadi pembekal tenaga ASEAN dengan membekal tenaga diperbaharui ke negara jiran melalui kesalinghubungan Borneo dan Grid Tenaga ASEAN.
“Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan turut komited untuk meningkatkan lagi kerjasama wilayah dan kesalinghubungan tenaga,” katanya dalam ucaptama melancarkan forum EIC Connect Energy Borneo 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah pertama Sarawak dalam mewujudkan kerjasama wilayah itu bermula sedekad yang lalu dengan grid kesalinghubungan tenaga Sarawak-Kalimantan Barat.
Abang Johari berkata, kerjasama itu dikenali sebagai Grid Tenaga Trans Borneo iaitu yang pertama menghubungkan Kawasan Pertumbuhan ASEAN (Brunei-Indonesia-Malaysia-Timur Filipina) di bawah inisiatif Grid Tenaga ASEAN dan membentuk perdagangan tenaga pertama antara Malaysia dan Indonesia.
Kesalinghubungan itu membolehkan Kalimantan Barat mengimport tenagahidro dari Sarawak, katanya.
Beliau menambah, Sarawak turut berusaha untuk mengeksport tenaga ke negara jiran lain.
Projek itu akan meningkatkan lagi perdagangan tenaga dan integrasi wilayah pada masa depan, tegas beliau.
Katanya, Sarawak juga komited untuk merealisasikan kesalinghubungan tenaga Sarawak-Brunei menjelang tahun 2030 dengan keupayaan mengeksport 30-50 MW.
Selain itu, Sarawak bersedia untuk mengeksport kira-kira 30-50 MW tenaga diperbaharui ke Sabah menjelang akhir tahun ini melalui talian penghantaran 34km, 275 kV.
Menurut beliau, projek kesalinghubungan tenaga 1,000 MW ke Singapura sedang berjalan selepas Malaysia dan Sinagpura mencapai persetujuan.
Perbincangan teknikal mengenainya kini di peringkat akhir sungguhpun menghadapi rintangan dalam memasang salah satu kabel dasar laut terpanjang di dunia, katanya dan menegaskan, Sarawak bekerja rapat dengan semua pemegang taruh termasuk Indonesia.
Beliau berkata, dalam membangunkan tenaga diperbaharui, meningkatkan simpanan tenaga adalah amat penting untuk memenuhi perkongsian sumber tenaga seperti solar.
Bagi menanganinya, katanya, Sarawak Energy sedang di peringkat akhir kajian kemungkinan untuk meneroka pengembangan bateri simpanan tenaga dan penyelesaian alternatif seperti simpanan pam hidro bagi menjamin sistem tenaga yang stabil dan boleh dipercayai.