THAILAND: Sarawak semakin memperkukuh langkah ke arah ekonomi rendah karbon apabila rangka kerja Skim Perdagangan Pelepasan (ETS) negeri itu dijangka dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2027.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pembangunan skim tersebut kini dipacu menerusi kerjasama rapat dengan Bank Dunia bagi merangka dasar serta mekanisme perdagangan karbon yang komprehensif dan berdaya saing.
“Kejayaan pelaksanaan ETS bergantung kepada empat teras utama yang sedang dibangunkan secara menyeluruh oleh kerajaan negeri,” katanya.
Dr Hazland berkata demikian ketika sesi temu bual sempena Minggu Kemampanan Asia 2026 di Bangkok, Thailand semalam, di mana beliau mewakili Malaysia dalam mengetengahkan peranan Sarawak sebagai peneraju dalam agenda peralihan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, aspek kawal selia menjadi asas penting dengan penekanan terhadap penggubalan dasar, undang-undang dan ordinan yang menyokong pengurusan sumber asli secara mampan, termasuk keperluan lesen, permit serta kawalan kualiti dalam sektor berkaitan seperti industri hidrogen.
“Sarawak turut memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan teknologi dan kepakaran teknikal, khususnya dalam bidang tenaga bersih dan perdagangan karbon, bagi memastikan negeri ini mampu bersaing di peringkat global.
“Penguasaan teknologi amat penting untuk membolehkan kita menjalin kerjasama strategik. Justeru, Sarawak kini bekerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Sumitomo, Samsung, Ineos dan Lotte dalam membangunkan industri hidrogen,” katanya.
