SEOUL: Kerajaan Sarawak bakal menjalinkan kerjasama dengan Rangkaian Inovasi Digital Global (GDIN) Korea Selatan dalam usaha membangunkan ekosistem pemula digital di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Komunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan GDIN.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan GDIN Korea Selatan melalui SDEC dalam mempercepatkan penerapan digitalisasi Sarawak dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai bidang ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi Sarawak mengadakan lawatan di GDIN Korea Selatan di Bundang-gu, Pangyo, Seoul, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Julaihi dan delegasinya diberi taklimat oleh presiden dan ketua pegawai eksekutif DIN Jongkap Kim dan pengarah urusan Sokjin Chang.
Delegasi turut disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, pengerusi SDEC Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Sudarnoto Osman.