KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melantik agregator yang akan menguruskan hal berhubung pengedaran gas di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi berkata pelantikan agregator gas ini akan menjamin ketersediaan bekalan gas untuk pemain industri dan pengguna tempatan.
Katanya, lantikan itu juga akan mengukuhkan, menambah baik dan mengembangkan rantaian sistem pengedaran gas sedia ada.
“Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berpengalaman dan pengetahuan yang diperlukan dalam pengedaran gas akan dilantik sebagai agregator gas,”katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar memberitahu dewan bahawa kelulusan RUU itu memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk melantik agregator gas terbabit.
