KUCHING: Masyarakat sepanjang Sungai Balingian di Mukah mesti berwaspada dengan buaya di sungai berkenaan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, anggaran populasi buaya di sepanjang sungai itu adalah sebanyak 114 ekor hasil dari survei pada Mei tahun ini.
Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding sebanyak 83 ekor pada 2014.
“Oleh itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti di sungai,” katanya menjawab soalan ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Len berkata, kerja-kerja pemantauan kehadiran buaya di sungai-sungai Sarawak sentiasa dijalankan oleh pasukan Swift Wildlife Action Team (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) termasuk di Sungai Balingian.
Tambahnya, sepanjang tahun ini dua aktiviti pemantauan telah dilakukan di kawasan Balingian dan dua ekor buaya telah ditakai sehingga kini.
Len berkata, Kerajaan Sarawak berusaha menubuhkan pusat perlindungan untuk buaya yang dipindahkan dari kawasan berdekatan penduduk setempat.
“Taman Negara Bakau Rajang telah dikenal pasti sebagai tempat perlindungan buaya di wilayah tengah untuk mengurangkan konflik antara buaya dengan manusia,” jelasnya pada sidang media.
Katanya, SFC juga akan melancarkan aplikasi tahun depan bertujuan memaklumkan penduduk dan pelancong tentang buaya bagi mengelakkan kunjungan kawasan berbahaya.
