Hanifah bantu mangsa kebakaran Kampung Bunut

MUKAH: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Mukah Dato Hajah Hanifah Hajar Taib menyantuni keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bunut, Mukah, hari ini.

Dalam pada itu, Hanifah menghulurkan sumbangan berjumlah RM15,000 secara keseluruhan kepada mangsa kebakaran.

Hanifah menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini memberitahu, sumbangan tersebut merangkumi wang tunai dan barangan keperluan asas.

Daripada jumlah tersebut, RM10,000 disalurkan kepada sebuah keluarga, manakala RM5,000 lagi diberikan kepada sebuah keluarga lain yang menetap di rumah sewa.

Dalam lawatan itu, beliau meluangkan masa meninjau sendiri keadaan bekas tapak kebakaran serta menyantuni kedua-dua keluarga yang terjejas.

Hanifah berharap kedua-dua keluarga tabah menghadapi dugaan serta menyarankan pelbagai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dari segi tenaga, emosi dan kewangan kepada mangsa yang terlibat.

Kejadian tersebut mengakibatkan dua rumah musnah dan menyebabkan dua keluarga hilang tempat tinggal.

Gambar: Hanifah Hajar Taib