Sarawak, Pahang bincang perluaskan kerjasama

KUANTAN: Rombongan Kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, hari ini.

Kunjungan itu sempena penganjuran Showcase Usahawan Sarawak 2026 di Kuantan City Mall untuk promosikan produk usahawan Sarawak ke pasaran Semenanjung.

Kedua-dua pihak membincangkan mengenai penerbangan langsung antara Sarawak dan Pahang bagi memudahkan pergerakan pelancong, usahawan serta pelabur.

Selain itu kerjasama antara pelabuhan Pahang dan Sarawak juga dilihat berpotensi meningkatkan perdagangan khususnya dalam industri halal dan aktiviti pelancongan kapal persiar serta kerjasama industri kreatif khususnya songket.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, Sarawak sentiasa terbuka untuk memperluaskan kerjasama strategik dengan negeri-negeri lain.

“Ini demi manfaat bersama, khususnya dalam bidang perdagangan, pelancongan, pelaburan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sambutan mesra serta komitmen dalam memperkukuh hubungan erat antara kedua negeri.

Turut mengiringi beliau ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Naroden Majais serta Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.