KUCHING: Penjawat awam disaran berani mengetengahkan idea baharu yang berpotensi membawa perubahan dalam penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata inovasi tidak semestinya bermula dengan idea besar, sebaliknya tercetus daripada pemerhatian terhadap masalah harian serta maklum balas masyarakat.
“Kadangkala idea yang dianggap kecil sebenarnya mampu menjadi penyelesaian efektif kepada sesuatu permasalahan.
“Apa yang penting ialah kita melihat sesuatu isu itu, memahami bagaimana ia berlaku dan memikirkan bagaimana kita mahu menambah baik perkhidmatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutupan Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) 2026 di Penview Convention Centre (PCC), Demak, hari ini.
Menurut beliau, setiap inovasi yang diketengahkan perlu berasaskan data, berpandukan punca masalah sebenar serta boleh diukur bagi memastikan keberkesanannya memberi impak kepada masyarakat.
Tambahnya, konvensyen KIK merupakan platform strategik dalam memupuk budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam sekali gus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Sementara itu, kumpulan Hachi Suno dinobatkan juara dan membawa pulang wang tunai RM2,500, diikuti Kenyalang Drone di tempat kedua (RM2,000) manakala tempat ketiga, CkeiNova (RM1,500).
Seramai 72 peserta daripada 10 kumpulan mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut dengan membentangkan pelbagai projek inovasi yang berpotensi memberi impak tinggi kepada perkhidmatan awam.
