Jambatan Batang Paloh masuki fasa akhir pembinaan, bakal rancakkan aktiviti ekonomi

MUKAH: Projek Jambatan Batang Paloh dijangka siap pada 31 Oktober depan.

Projek bernilai RM298.49 juta itu sudah memasuki fasa akhir pembinaan dengan mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 90.49 peratus setakat ini dan tarikh siap pindaan projek ditetapkan pada 3 Oktober 2026.

Apabila siap kelak, jambatan sepanjang 1,700 meter (m) itu dijangka memendekkan masa perjalanan penduduk sekitar, meningkatkan kecekapan logistik, merancakkan aktiviti ekonomi di Tanjung Manis dan kawasan tengah Sarawak, khususnya sektor perindustrian dan perkapalan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo meninjau projek Jambatan Paloh di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 10 jambatan mega telah siap sepenuhnya, manakala lapan lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

“Sebahagian besar projek berjalan lancar mengikut jadual tanpa sebarang isu besar, termasuk beberapa jambatan utama yang dijangka siap tahun ini,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang juga ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol.

Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan di bawah inisiatif Jalan Pesisir dan Second Trunk Road yang bertujuan meningkatkan jaringan perhubungan serta aksesibiliti rakyat di seluruh negeri.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata pembinaan jambatan seperti Batang Paloh, Batang Igan dan Batang Lassa akan memudahkan pergerakan penduduk di kawasan Tanjung Manis, Pulau Bruit hingga ke Mukah.

“Ini menyokong pembangunan agropark dan meningkatkan aktiviti pengeluaran makanan di luar bandar sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Katanya, ini menggalakkan penghijrahan semula penduduk ke kampung bagi mengusahakan tanah serta menjana ekonomi.

Tambahnya, pembinaan jambatan tersebut turut membantu menambah baik kemudahan asas termasuk bekalan air di kawasan pedalaman, sekali gus memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.