LAWAS: Belia merupakan pelopor dalam menjayakan Pelan Hala Tuju Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Exco Saberkas Sarawak, Steve Lius berkata, golongan itu bukan lagi sekadar pelapis, sebaliknya menjadi penggerak bersama dalam pembangunan wilayah ini.
Katanya, golongan berkenaan perlu menyumbang secara aktif dalam aspek sosial, budaya, ekonomi dan perpaduan, di samping terus meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta nilai kesukarelaan.
“Belia harus mempunyai pandangan positif dan berusaha memajukan diri serta negeri,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Menggerak Belia sempena Hari Belia Negara 2026 di Centexs Lawas, hari ini.
Beliau meminta golongan belia mengamalkan budaya integriti dan tidak mudah berputus asa, selain bersatu menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membangunkan negeri.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 100 pelatih Centexs Lawas bersama Saberkas Cawangan Bukit Sari dan Ba’kelalan.
Acara dimulakan dengan senam sihat, diikuti amanat Exco Saberkas serta penyerahan baton daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) sebelum program diteruskan ke Bahagian Miri.
Turut hadir Pengerusi Saberkas Cawangan Bukit Sari, Awangku Syahrizan Pengiran Hipni dan wakil Saberkas Cawangan Ba’kelalan, Kr Bidin Untong.
