KUCHING: Sarawak optimis untuk mencapai sasaran lima juta pelawat tahun ini walaupun terdapat kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan penerbangan susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, prestasi ketibaan pelawat pada Januari menunjukkan perkembangan positif dan memberi keyakinan bahawa sasaran tersebut masih berada di landasan yang tepat.
“Kerajaan Sarawak akan terus memantau jumlah kedatangan pelawat setiap bulan. Sekiranya berlaku penurunan, usaha promosi tambahan akan dipergiat bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo dan Kongres Borneo Global Meditourism di Borneo Convention Centre Kuching di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim mengakui ketegangan geopolitik serta kenaikan harga minyak global mungkin memberi sedikit kesan kepada kedatangan pelancong dari Eropah dan Timur Tengah berikutan peningkatan kos penerbangan.
Namun katanya, pelbagai strategi termasuk promosi berterusan dan penganjuran acara berskala besar diyakini mampu mengekalkan momentum kedatangan pelawat ke Sarawak.
