KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha melahirkan ilmuwan Islam di Sarawak, kerajaan negeri mengambil langkah dengan menubuhkan Sekolah Islam Antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan sekolah yang berharga RM95 juta itu diluluskan oleh kerajaan negeri, malah turut dipersetujui barisan pemimpin bukan Islam di Sarawak.
Menurutnya, sekolah antarabangsa tersebut dilengkapi dengan asrama.
“Kita hendak melahirkan anak tahfiz yang boleh menguasai ilmu agama dan ilmu dunia yang berkisar kepada Sains,” katanya semasa merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTMQ) Peringkat Sarawak 2025 di Dewan Suarah, Kota Samarahan malam tadi.
Jelas Abang Johari, Sarawak juga telah menubuhkan Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana sebagai langkah untuk mengembangkan ayat-ayat suci Al-Quran agar dapat dijadikan pegangan hidup umat Islam di negeri ini.
“Pusat Al-Quran ini akan mengupas apakah implikasi kepada tamadun Islam, kepada ilmuwan Islam dalam Sarawak,” katanya lagi.
Sementara itu, MTMQ Peringkat Sarawak 2025 membuka tirai malam ini dan akan berakhir 27 Februari dengan penyertaan 45 peserta daripada pelbagai kategori.
Acara tahunan ini dianjurkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan serta agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’, MTMQ 2025 bertujuan menyemarakkan semangat cinta terhadap Al-Quran di samping melahirkan lebih ramai Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah yang berkaliber di negeri ini.
Beberapa kategori pertandingan termasuk Tilawah Al-Quran bagi Qari dan Qariah dengan hadiah wang tunai RM10,000 untuk johan, RM7,000 (naib johan), RM5,000 (ketiga) serta saguhati RM1,500 kepada peserta.
Bagi kategori Hafazan pula, hadiah disediakan mengikut peringkat hafazan iaitu 1-30 Juzuk, 1-20 Juzuk dan 1-10 Juzuk dengan hadiah utama mencecah RM5,000 bagi kategori tertinggi.
Majlis penutupan akan dilakukan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.