BINTULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.7 bilion untuk membiayai pembangunan infra pendidikan dalam usaha memartabatkan bidang itu di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu termasuk membiayai program-program pendidikan lain termasuk melaksanakan program guru dan pelajar sekolah.
“Kita menggunakan dana sendiri (Kerajaan Sarawak) kerana peruntukan daripada Kerajaan Pusat agak lewat.
“Kita harus menggunakan duit sendiri untuk melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan anak-anak Sarawak,” katanya pada Majlis Penyerahan Dan Perasmian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu di sini.
Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan penyerahan kampus MRSM oleh PETRONAS kepada Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak yang seterusnya menyerahkan kepada MARA untuk urusan pengoperasian.
Kampus MRSM Bintulu melibatkan kos pembinaan RM122 juta itu bakal beroperasi mulai Mac
2024, dan menyediakan peluang kepada pelajar di Sarawak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti serta merangsang minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis bersejarah itu dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Mohd Bakke Salleh.