KUCHING: Strategi intervensi bersasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) merupakan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata langkah itu bagi memastikan rakyat yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.
Katanya, Sarawak optimis untuk mengurangkan kadar kemiskinan dengan mengambil pendekatan makro serta pengesahan data secara menyeluruh.
“Kita percaya bahawa tahun hadapan, selepas kita berjaya menghapuskan miskin tegar, kita akan menumpukan perhatian kepada golongan miskin secara keseluruhan.
“Dengan usaha berterusan, kita dapat mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak,” katanya dalam sidang media Pembasmian Miskin Tegar di Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II hari ini.
Jelasnya, program pembangunan makro diperkenalkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meningkatkan pendapatan isi rumah serta membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi golongan miskin di Sarawak ditetapkan pada RM2,618, manakala untuk miskin tegar ialah RM1,298.
“Oleh itu, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada mengenal pasti individu dan keluarga yang tergolong dalam kategori ini melalui sistem E-Kasih,” ujarnya.
Fatimah menegaskan data yang diperoleh dari E-Kasih akan melalui proses verifikasi ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.
Proses ini melibatkan pemimpin komuniti seperti ketua kaum dan ketua masyarakat yang lebih memahami keadaan sebenar penduduk di kawasan masing-masing, katanya.
“Apabila kita diberikan angka kasar, perkara pertama yang dilakukan adalah pengesahan. Kita perlu memastikan sama ada mereka benar-benar tergolong dalam kategori miskin tegar atau tidak.
“Jawatankuasa khas yang dibentuk akan meneliti dan mengesahkan status mereka,” tambah beliau.
Kerajaan Sarawak katanya juga memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan, termasuk Skim Kasih Sarawak (SKAS), bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi keluarga yang memerlukan.