KUCHING: Sarawak boleh menyemak semula Operasi Standard (SOP) dan pertingkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongannya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini antara boleh dilakukan Sarawak bagi memastikan amalan terbaik diguna pakai dalam aktiviti perlombongan serta memenuhi kehendak pembangunan mampan industri mineral.
“Menyemak semula SOP dengan menambahbaik operasi yang kurang relevan dan lapuk dan mewujudkan SOP yang lebih mesra alam,” katanya Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Apreasiasi Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Tahun 2023 di sini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, Sarawak juga boleh mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan kawalselia secara cekap dan berkesan.
Katanya, ini supaya dapat meyakin dan mengurang persepsi negatif masyarakat terhadap aktiviti perlombongan.
Selain itu, beliau juga mendedahkan peruntukan sebanyak RM300 juta telah dipohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi menjalankan kerja pemetaan geologi di Sarawak.
Katanya, kerajaan negeri juga telah memberi peruntukan sebanyak RM16 juta bagi pemetaan geologi terbabit yang dikendalikan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
“Biarpun peruntukan itu tidak mencukupi untuk meliputi seluruh Sarawak tetapi sekurang-kurangnya dapat meluaskan lagi pemetaan geologi tersebut,”katanya.
Menurutnya, setakat ini pemetaan geologi hanya meliputi 400 kilometer (km) per segi telah dilakukan dalam Sarawak dan amat penting bagi mendapatkan data-data berhubung mineral yang ada terutamanya penemuan mineral baharu yang tidak diketahui.