KUCHING: Keupayaan Sarawak merancang pembangunan pelabuhan secara strategik dan berdaya saing menarik minat Kerajaan Belanda untuk menjalin kerjasama dalam sektor pelabuhan serta maritim negeri ini.
Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner berkata, Belanda melihat potensi besar dalam rancangan Sarawak memperkasa sistem pelabuhan sebagai nadi baharu pertumbuhan ekonomi negeri, selain peluang luas untuk pertukaran teknologi dan kepakaran pengurusan pelabuhan moden.
“Beberapa syarikat dari Belanda berpengalaman dalam bidang pengorekan, reka bentuk pelabuhan dan perisian pengurusan pelabuhan telah dikenal pasti untuk meneroka kerjasama strategik dengan Sarawak.
“Kami amat kagum dengan visi dan perancangan Sarawak dalam membangunkan sektor pelabuhan. Banyak syarikat kami bersedia untuk bekerjasama bagi membantu merealisasikan aspirasi itu,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, delegasi Belanda yang hadir terdiri daripada 10 syarikat dari Belanda dan Asia Tenggara yang berminat menjalin kerjasama dalam pembangunan pelabuhan dan sektor maritim negeri ini.
Turut hadir, Penasihat Pelabuhan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Datuk Ian James; Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yau dan Timbalan Setiausaha Tetap MIPD, Latiff Coupon.