SarawakPass diperkenal, lebih cekap, canggih

KUCHING: SarawakPass akan menjadi evolusi tadbir urus pendigitalan kerajaan akan datang, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, dahulu dikenali sebagai SarawakID, SarawakPass akan menggabungkan peningkatan ciri-ciri pengenalan digital, keselamatan infrastruktur utama awam (PKI), walet digital dan MyBenefit.

Penggabungan itu akan menyediakan khidmat boleh dipercayai bagi perkhidmatan digital Sarawak, katanya merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, SarawakPass mencerminkan garis panduan utama ‘satu identiti, banyak peluang’ yang menjamin keselamatan dan keselesaan akses kepada ekosistem digital kerajaan untuk setiap rakyat Sarawak.

Inovasi ini, katanya, melambangkan visi yang luas iaitu kerajaan yang mudah dihubungi pada bila-bila masa dan di mana-mana jua yang berteraskan kepercayaan, kecekapan dan inklusif.

Beliau berkata, untuk mengukuhkan usaha seterusnya, kerajaan turut menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) yang menjadi pusat inovasi untuk penyelidikan, pembangunan bakat dan berkolaborasi dengan industri.

SAIC, tambahnya, akan mempercepatkan adoptasi AI dalam sektor utama daripada tenaga pintar dan pertanian moden kepada perancangan bandar dan logistik untuk memastikan Sarawak berada di hadapan dalam era transformasi kecerdasan.

Menurut Abang Johari, tahun 2025 menandakan kejayaan usaha Sarawak dalam bidang teknologi dengan pelancaran Keteq AI.

Keteq AI itu, tegas beliau, adalah cip penukaran tenaga dan cip Gallium, Nitride (GaN) yang dihasilkan oleh syaikat negeri ini sendiri SMD Semiconductor.

“Ini menunjukkan kemajuan Sarawak yang dipacu oleh sumber kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan,” katanya.

Ekosistem itu, katanya, akan mewujudkam 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi baharu, mengembangkan industri hiliran dan mengukuhkan perkembangan teknologi di negeri ini.

Industri semikonduktor diunjur menyumbang RM30 bilion kepada KDNK Sarawak bagi menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid (PDCS) 2030 yang disasarkan RM282 bilion menjelang tahun 2030.

IDECS bukan setakat persidangan tetapi satu pengisytiharaan bahawa Sarawak akan menerajui transformasi hijau dan digital di rantau ini, katanya.

Beliau berkata, usaha Sarawak setakat ini bukan hanya berjanji tetapi menyampaikan kepada rakyat yang bermula daripada meletakkan asas kesalinghubungan.

Menurut beliau, liputan internet di Sarawak di kawasan ramai penduduk setakat ini mencapai lebih 90 peratus melalui 600 menara SMART, 5G, pengembangan fibre dan inisiatif MySRBN Sarawak sendiri.

Sarawak berada di landasan tepat untuk mencapai 7,000 menara telekomunikasi di bawah PCDS 2030 bagi menjamn akses liputan digital di seluruh negeri.