Sasaran 5 juta pelancong boleh dicapai, resit melebihi RM1 bilion setiap bulan – Abdul Karim

KUCHING: Sarawak optimis mencapai sasaran lima juta pengunjung tahun ini selepas merekodkan prestasi cemerlang dalam sektor pelancongan dengan kutipan resit melebihi RM1 bilion setiap bulan sejak Januari lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rekod itu sekali gus memberi manfaat kepada industri hospitaliti termasuk hotel, restoran dan perkhidmatan berkaitan, walaupun persaingan pelancongan di rantau ini semakin sengit.

“Buat pertama kali, selama lapan bulan berturut-turut, Sarawak berjaya merekodkan resit pelancongan melebihi RM1 bilion sebulan.

“Walaupun kita belum pernah mencapai angka lima juta pelawat, saya yakin dengan penganjuran pelbagai acara antarabangsa dan sukan, sasaran itu boleh dicapai sebelum 31 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Lions Club Kuching di sini, malam tadi yang menghimpunkan perwakilan antarabangsa dari China, Indonesia, Jepun, Singapura, Thailand dan Filipina.

Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukarelawan, tetapi turut memberi limpahan ekonomi kepada Sarawak.

Selain pelancongan, beliau turut menyentuh persediaan Sarawak menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 dengan menaik taraf kompleks sukan di Kuching yang bakal menempatkan lebih separuh acara temasya berprestij itu.

Beliau turut merakam penghargaan kepada Lions Club International yang giat melaksanakan khidmat komuniti, serta memberi jaminan kerajaan negeri bersedia bekerjasama dalam usaha membantu golongan memerlukan.