KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang supaya melaksanakan Pelan Induk Sekolah Daif Sarawak 2030 dengan sasaran 100 sekolah disiapkan setiap tahun.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang mencadangkan demikian juga ingin tahu apakah KPM bercadang untuk melaksanakan pembinaan semula sekolah daif di Parlimen Igan yang mash mempunyai 18 sekolah daif dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“KPM perlu merangka pelan strategik jangka pendek dan jangka panjang agar isu-isu pendidikan di Sarawak dapat diambil tindakan sewajarnya khususnya sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-13,” katanya semasa membahas Belanjawaan Madani 2026 pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Johnie, setakat Julai 2024, Sarawak mempunyai 555 sekolah daif termasuk 361 sekolah tahap enam iaitu tidak sesuai digunakan dan 194 berada pada skala tujuh iaitu tidak selamat digunakan.
Ketika membahas, beliau kemudian bertanya, bilakah projek pembinaan semula sekolah daif ini akan selesai sepenuhnya dan apakah perancangan KPM untuk mempercepatkan pelaksanaan membina baharu sekolah-sekolah daif ini dalam RMK– 13.
Beliau juga memohon agar kerajaan memberi peruntukan khas kepada Sarawak dan Sabah untuk menoktahkan isu sekolah daif dalam tempoh perlaksanaan RMK-13.
“Pembinaan sekolah bukan hanya tentang bangunan fizikal semata-mata. Tetapi juga tentang kemudahan infrastruktur yang disediakan seperti kemudahan air bersih, tenaga elektrik, termasuk sistem tenaga hybrid, akses jalan raya, internet, makmal sains, perpustakaan, smart board dan lain-lain peranti,” tegas beliau.
Isu sekolah daif, katanya, bukan sekadar isu infrastruktur kerana ia adalah isu maruah, kemanusiaan dan keadilan wilayah.
“Anak-anak di Parlimen Igan, Hulu Rajang, Baram berhak belajar dalam suasana yang selamat, bersih, kondusif dan bermaruah sama seperti anak-anak di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya yang menyokong Belanjawan Madani 2026 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.