Sembilan projek baharu pertingkat bekalan air grid dilulus RMK-12

SIBU: Sebanyak sembilan projek baharu dengan jumlah nilai skim sebanyak RM673 juta bagi mempertingkatkan bekalan air di bawah bidang kuasa Lembaga Air Sibu (LAS) diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pengurus Besar LAS, Abdul Malik Abdullah, berkata ini termasuk lima projek yang baru-baru ini telah diluluskan semasa Kajian Separuh Penggal RMK-12 pada tahun ini.

Antara projek itu ialah projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim daripada m kapasiti 150MLD kepada 300 MLD dengan jumlah nilai sebanyak RM300 juta dilaksanakan untuk menampung keperluan permintaan yang giat meningkat.

Ia untuk kawasan LAS dan juga sebahagiannya ke kawasan Jabatan Bekalan Luar Bandar (JBLB).

“Ia merupakan loji induk untuk kawasan tengah di bawah Sarawak Program Grid Induk Bekalan Air. Projek sedang dalam proses persediaan panggilan tender, dan dijangka bermula pada April 2024 dan siap penghujung 2026.

“Projek Penggantian Paip Lama dengan jumlah nilai skim sebanyak RM170 juta turut dirancang dan dilaksana untuk menggantikan paip-paip lama sepanjang 360 km yang sering mengalami kebocoran paip. Dengan adanya projek tersebut ia dapat mengurangkan kadar kehilangan air tak terhasil,”katanya ketika berucap pada majlis makan malam LAS semalam.

Abdul Malik berkata, LAS juga telah dan sedang giat berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di beberapa kawasan seperti Sibu Jaya, Bawang Assan dan Pasai Siong serta dua rumah panjang iaitu Rh John Lalong dan Rh Edward.

Selain itu katanya, dua projek khas bagi mengatasi masalah tekanan bekalan air penempatan Flat Sibu Jaya akan dilaksanakan pada tahun ini dengan jumlah kos sebanyak RM7 juta di bawah Projek Rakyat dan dijangka siap akhir 2024.

Katanya, LAS juga berjaya memperoleh pensijilan semula Sistem Pengurusan Bersepadu yang merangkumi ISO 9001 Siri 2015, ISO 14001 Siri 2015 dan ISO 45001 Siri 2018 pada 2022 serta Audit Pematuhan pada 2023.

Beliau berkata, kawalan kualiti air terawat sentiasa menjadi keutamaan LAS dan sehingga September tahun ini sejumlah 931 sampel air diambil dari tempat pengambilan air mentah,loji rawatan, tangki aras tinggi, takungan dan sistem agihan untuk pemeriksaan air di makmal pihak ketiga, Jabatan Kimia.