Silat bentuk sahsiah, disiplin belia – Hamzah

KOTA SAMARAHAN: Seni silat bukan sekadar warisan turun-temurun, tetapi menjadi wadah membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, semangat kesungguhan pesilat muda yang dipamerkan dalam Kejohanan Silat Jemputan Tertutup Pendekar Muda 2025 Piala Datuk Hamzah Brahim membuktikan seni mempertahankan diri itu masih relevan.

“Di sini, saya nasihatkan agar anak-anak muda (pesilat) agar menghormati guru, sebagaimana kamu menghormati ibu bapa kita,” katanya pada majlis pemutupan kejohanan di Dewan Perpaduan Stakan Taman Samarindah, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa ilmu pengetahuan perlu dijadikan pelengkap kepada kehebatan seorang pendekar.

Ini penting katanya, agar generasi baharu bukan sahaja tangkas di gelanggang, tetapi cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk penganjuran kejohanan edisi akan datang.

Kejohanan yang berlangsung sejak 10 hingga 12 Oktober itu menarik penyertaan 260 pesilat daripada 12 perguruan silat seluruh Sarawak, termasuk dari Bintulu, Sibu, Sebuyau, Simunjan, Kuching dan Kota Samarahan.

Pasukan Pencak Silat Warisan Spring 15 dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan membawa pulang RM700 berserta piala iringan, manakala Perguruan Silat Nilam Sari muncul naib juara dengan RM500 dan piala.

Perguruan Silat Asli Zamrud pula menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM300 berserta piala penghargaan.