SIYFC25 pahat nama Sarawak di peta dunia

KUCHING: Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa Sarawak 2025 (SIYFC25) di sini bakal memahat nama Sarawak sebagai pusat pembangunan bola sepak akar umbi di peta dunia.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak( Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi juga gerakan besar dalam mencungkil bakat muda.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS).

“Mungkin ramai yang tidak tahu NFDP turut melahirkan ramai pemain-pemain muda yang telah berjaya sehingga menandatangi kontrak bersama JDT 2 dan banyak lagi,” katanya pada sidang media SIYFC25 di Stadium Sarawak, Petra Jaya hari ini.

Penganjuran SIYFC25 dijadual berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun di Stadium Sarawak, Petra Jaya bakal mencatat sejarah tersendiri buat Sarawak apabila julung kalinya menjadi tuan rumah temasya berprestij itu.

Ia akan menyaksikan pemain remaja dalam kategori B8, B10 dan B12 dari dalam dan luar negara bersaing di peringkat tertinggi sambil memupuk semangat kesukanan, pembelajaran dan hubungan antara budaya.