SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab bakal miliki masjid baharu

KUCHING: Projek pembinaan Masjid Sheikh Haji Othman Abdul Wahab di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dijangka bermula dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid tersebut, Dato’ Dr Juanda Jaya berkata, reka bentuk pembinaan masjid telah siap sepenuhnya dan tapak seluas lima ekar dikenal pasti di dalam kawasan sekolah.

Menurut beliau, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM10 juta bagi pembinaan masjid tersebut sebelum ini, selain meluluskan tambahan RM13 juta bagi membina kompleks Darul Huffaz dan sebuah menara astronomi bersebelahan masjid.

“Kita telah ada peruntukan sebanyak RM11.1 juta yang mana RM10 juta daripada Premier Sarawak, kita dah dapat kelulusan duit berkenaan dan RM1.17 juta adalah hasil kutipan awam wakaf untuk membina masjid itu.

“Untuk bangunan masjid InsyaAllah fasa pertama akan segera dilaksanakan dan untuk Darul Huffaz dan Menara Astronomi akan dilaksanakan pada fasa kedua pada tahun hadapan insyaAllah,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Beliau menambah, projek pembangunan tersebut merupakan inisiatif sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab yang dijadual berlangsung pada tahun hadapan. – UKAS