KUCHING: Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah(SNDB) akan mengenalpasti dan membangunkan kawasan berpotensi untuk tanaman rumbia di Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, SNDB ditubuhkan pada 1 September 2022 untuk membangunkan industri ini dengan lebih berkesan dan menyeluruh serta akan mulaberoperasi setelah urusan pelantikan pegawai dimuktamadkan.
“Lembaga ini akan membuat kajian secara terperinci bagi mengenal pasti dan membangunkan kawasan berpotensi untuk tanaman rumbia di Sarawak termasuk di DUN Kalaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (GPS -Kalaka), Mohamad Duri ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Beliau berkata, pada masa ini, kementerian itu melalui Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) menyediakan bantuan kepada petani yang terlibat.
“Bagi kawasan DUN Kalaka, jabatan sedang melaksanakan Program Tanam Baru Rumbia secara berkelompok melibatkan 15 peserta dengan keluasan 43.6 hektar,” tambahnya.
Menurutnya, projek bernilai RM520,000 ini mula dilaksanakan pada 2022 dan dijangka siap penghujung tahun ini.