STI pemacu Sarawak maju menjelang 2030

BETONG: Penguasaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menjadi asas penting dalam mendorong Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menegaskan, pendedahan awal kepada murid sekolah rendah merupakan pelaburan jangka panjang bagi membentuk generasi kreatif, celik teknologi dan mampu bersaing di peringkat global.

“Ini bukan sekadar program sekolah, ini adalah tentang masa depan anak-anak kita iaitu jurutera, saintis, inovator digital dan pakar tenaga hijau yang akan memacu pembangunan Sarawak,” katanya pada Karnival STI Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, di sini, semalam.

Menurutnya, Sarawak kini berada pada landasan untuk muncul sebagai pencipta teknologi seiring kemajuan kecerdasan buatan (AI), hidrogen, automasi, bioteknologi dan ekonomi digital, sektor yang menuntut modal insan berkemahiran tinggi dan penguasaan kukuh terhadap STI.

Pada program itu, beliau turut meninjau 10 reruai pameran inovasi murid meliputi bidang robotik, pengekalan makanan, hidroponik, tenaga solar, roket air, dron, pen 3D dan pembangunan prototaip.

Keputusan pertandingan pameran turut diumumkan pada majlis penutupan dengan Solar Energy Team dinobatkan sebagai juara, diikuti Hydroponic Team sebagai naib juara dan Food Preservation Team di tempat ketiga.

Anugerah khas juga disampaikan, menyaksikan Solar Energy Team memenangi dua kategori iaitu Best Presenters Group dan Most Creative Team, manakala Water Rocket Team diumumkan sebagai penerima Most Cooperative Team.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Huriah Yatim; Guru Besar SK Nanga Ajau, James Ali; Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Betong, Minggu Ujak; Yang Dipertua PIBG SK Nanga Ajau, Rahynold Rehenggia; serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC), Paul Langgang.