KUCHING: Tadbir urus strategik dan kemampanan kewangan Sarawak mendorong keyakinan syarikat asing untuk terus melabur di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini dibuktikan apabila sejumlah RM104 bilion pelaburan diluluskan sejak 2021 dalam sektor pembuatan, tenaga diperbaharui dan industri digital.
“Pelaburan ini mencerminkan kepercayaan global terhadap hala tuju jangka panjang Sarawak — bahawa kita bukan lagi kaya sumber sahaja, tetapi kaya peluang — didorong oleh dasar yang jelas, peralihan hijau dan kepimpinan yang boleh dipercayai.
“Paling penting, kemajuan kami telah diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan bermakna untuk warga kami,” katanya semasa menyampaikan amanat pada Pelancaran Rasmi Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) Sarawak di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta menteri-menteri kabinet negeri.
Katanya, RMK-13 akan meneruskan transformasi Sarawak sebagai wilayah ekonomi berpendapatan tinggi, hijau, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Ia akan menumpukan kepada mempercepatkan penyampaian, memperdalam transformasi dan memperkasakan penyertaan sektor swasta yang lebih besar.
Jelas beliau, matlamat kerajaan negeri adalah jelas – untuk memastikan setiap inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca CoVID-19 (PCDS 2030) memberikan hasil yang ketara selain meningkatkan kehidupan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan meluaskan peluang untuk semua rakyat Sarawak.
“Sarawak akan memanfaatkan modal semula jadi dan kelebihan perbandingan, digabungkan dengan teknologi terkini dan tenaga kerja mahir.
“Ia untuk memacu lebih banyak industri hiliran bernilai tinggi, mengembangkan pelaburan hijau, dan mencipta peluang inklusif — memastikan tiada rakyat Sarawak yang ketinggalan dalam perjalanan ke arah kemakmuran bersama.
“Melalui usaha strategik ini, kami menyasarkan untuk menggandakan saiz ekonomi daripada RM148.2 bilion pada 2024 kepada RM282 bilion menjelang 2030, dengan median pendapatan isi rumah bulanan disasarkan pada RM15,000.
“Ini mencerminkan keazaman kolektif untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat Sarawak,” katanya lagi.