KUCHING: Tadika yang dikendalikan oleh SeDidik di Rumah Seliau, Ulu Oya, Selangau, Sibu, dijangka beroperasi awal tahun depan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Ynus.
Sebuah lagi di Long Tebanyi, Sungai Paong, Ulu Tinjar, Baram, dijangka beroperasi pada suku kedua 2024, katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki yang bertanya apakah langkah diambil untuk menyediakan pendidikan awal kanak-kanak terutama di kawasan luar bandar dan apakah kadar kemasukan kanak-kanak di tadika terbabit.
Menurut Rosey, bagi 2023, kadar kemasukan di tadika kerajaan itu ialah 66.14 peratus iaitu 46,505 darripada sejumlah 70,305 kemasukan di tadika.
Berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, katanya, 98.71 peratus kanak-kanak tahun satu yang belajar di sekolah formal bagi tahun akademik 2023/2024 belajar di sekolah tadika.
Buat masa ini, tambahnya SeDidik mengendalikan lima tadika iaitu di Long Kawa, Long Kerangan, Long Leng, Long Jenalong dan Ba’ Selulong untuk keperluan kanak-kanak Penan.