Taman Arkeologi Santubong, Pusat Wallace mercu tanda baharu Santubong

KUCHING: Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace yang dibuka secara rasmi hari ini, menandakan usaha Kerajaan Sarawak memartabatkan warisan sejarah negeri serta menjadikannya tarikan pelancongan bertaraf dunia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kedua-dua pusat ini bakal menjadi mercu tanda baharu di Santubong. Malah, ia lahir daripada idea Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2016.

“Projek bernilai RM36.6 juta itu bermula 2019 dan sudah siap dengan kawasan taman diperluas kepada 36 hektar selepas banyak arkeologi penting ditemui.

“Ia termasuk tapak peleburan besi terawal, batu bergambar berusia lebih seribu tahun, serta artifak dari dinasti Sung, Yuan, Tang dan Qing yang menunjukkan jaringan perdagangan Sarawak dengan China dan India sejak abad ke-9,” katanya pada majlis perasmian taman berkenaan di Sungai Jaong, Santubong, hari ini.

Majlis disempurnakan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Santubong juga menempatkan Pusat Wallace bagi memperingati Alfred Wallace dan pembantunya, Ali Wallace, sambil menjadi tapak penyelidikan arkeologi pertama di Sarawak.

Buku Warisan Arkeologi Santubong katanya, diterbitkan Jabatan Muzium Sarawak dan diedarkan kepada sekolah tempatan bagi mendidik generasi muda mengenai sejarah negeri.

“Pembukaan taman arkeologi ini dijangka menjadi pemangkin pelancongan, menjana peluang ekonomi baharu untuk komuniti setempat. Ia turut menyokong aspirasi Sarawak menjadi destinasi utama eko-pelancongan dan acara perniagaan di Asia menjelang 2030, dengan kehadiran pemimpin negeri dan pihak berkaitan,” tambah beliau.