KUCHING: Projek Skim Pembesaran Kampung Bersepadu (SPKB) Matang Batu 10, Gita dan Sungai Maong di sini dijangka menyediakan sebanyak 330 lot kediaman.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata bagi pelaksanaan fasa satu yang berkeluasan lebih kurang 11.33 hektar dijangka menyediakan sebanyak 112 lot kediaman.
Katanya, tapak tersebut berkeluasan lebih kurang 32.9 hektar diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri, 6 Julai 2015.
“Tanah yang terletak di Sungai Cabik Matang adalah sebahagian daripada kawasan SPKB Matang Batu 10, Gita dan Sungai Maong,” lm katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawan soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, skim itu juga akan menyediakan komponen seperti kawasan lapang, rizab kerajaan dan tapak rumah ibadat.
Katanya, anggaran kos infrastruktur dan pengambilan balik tanah untuk SPKB ini berjumlah RM92.5 juta dan permohonan peruntukan melaksanakan projek ini akan dikemukakan semula dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
