KUCHING: Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan pembangunan infrastruktur di negeri ini memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, penjagaan kesihatan merupakan satu daripada bidang yang berjaya menarik pelabur untuk melabur di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak akan memberi sokongan kepada pelabur yang berminat membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Hospital Gleneagles Kuching di Jalan Batu Lintang di sini hari ini.
Hospital mempunyai 200 katil itu dibina oleh Kumpulan Jagaan Kesihatan lHH Malaysia berharga RM400 juta.
Beliau berkata, bagi menyokong sektor swasta yang melabur membina hospital berkelas dunia di sini, Kerajaan Sarawak merancang membina pusat peranginan pasca rawatan untuk pesakit di pusat peranginan Damai, Santubong dan Telok Melano, Sematan.
Begitu juga dengan rancangan kerajaan membina jalan pesisir dan jalan utama kedua untuk memudahkan pesakit datang ke sini mendapat rawatan berkelas dunia, tegas beliau.
Katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM300 juta untuk membina pusat kajian penyakit di sini untuk menarik minat pakar perubatan membuat kajian kemungkinan muncul penyakit baharu.
“Dengan memiliki semua kemudahan termasuk infrastruktur, kita yakin Sarawak boleh muncul sebagai hab jagaan kesihatan dan perubatan di rantau ini,” tegas beliau.
Abang Johari menambah, apabila banyak hospital swasta beroperasi di negeri ini, mudah bagi graduan perubatan dari UNIMAS mendapat peluang pekerjaan.
Berucap pada upacara itu, Premier Sarawak menegaskan, kerajaan menyokong pembinaan Hospital Gleneagles Kuching sebagai langkah menyedia rawatan perubatan berkelas dunia dan berteknologi tinggi di negeri ini.
“Hospital terbabit bukan setakat menyedia khidmat perubatan kepada rakyat di negeri ini tetapi juga dari luar negara. Kedatangan pesakit dari luar negara pasti akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH, Dr. Prem Kumar Nair dalam ucapan aluannya berkata, pembinaan hospital itu akan meletakkan Sarawak sebagai hab jagaan kesihatan dan perubatan.
Beliau berkata, pesakit di negeri ini tdak perlu pergi jauh mendapat rawatan kerana Hospital Gleneagles Kuching turut menawarkan khidmat perubatan berkelas dunia.
Hospital Gleneagles Kuching adalah hospital ke-19 lHH Malaysia. Hospital itu dijangka beroperasi pada suku kedua tahun 2028.