KUCHING: Tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM200 juta ditandatangani pada acara EIC Connect Energy Borneo 2025 di sini, hari ini.
Penganjuran ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sektor tenaga di rantau ini, memperkukuhkan hubungan strategik dan sokongan industri bagi memajukan agenda tenaga hijau.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni dalam kenyataannya berkata, MoU yang dimeterai ini mencerminkan visi tenaga jangka panjang Malaysia serta komitmen Sarawak terhadap Agenda Tenaga Hijau.
Katanya, peralihan tenaga merupakan usaha kolektif yang hanya akan tercapai melalui kerjasama strategik dan mampan pada masa depan.
“Antara sorotan utama persidangan kali ini adalah peranan hidrogen dalam peralihan tenaga Sarawak,” katanya.
Sementara itu tambah beliau, SEDC Energy turut memperkenalkan rancangan berani untuk mewujudkan rantaian nilai hidrogen yang menyeluruh.
Dengan pelancaran projek utama seperti Loji Hidrogen Rembus dan loji elektroliser pertama yang beroperasi pada Jun 2024, Sarawak berada di landasan untuk menjadi pengeksport utama hidrogen di Asia Tenggara, katanya.
“Selain itu, penggunaan hidrogen di rantau ini akan memberi impak terhadap industri utama seperti petrokimia, pembuatan keluli dan bahkan fesyen dalam usaha menyahkarbonkan industri tersebut.
“Fokus seterusnya adalah mengimbangi kelestarian dengan Brownfield Rejuvenation yang bertujuan menghidupkan semula tapak industri lama.
“Kecerdasan buatan (AI) turut dibincangkan sebagai agen revolusi dalam industri tenaga, terutamanya dalam sektor minyak dan gas yang dijangka mendapat manfaat bernilai antara $30 hingga $50 bilion.
“Pakar-pakar industri menegaskan peranan AI dalam penyelenggaraan: pengoptimuman perolehan dan automasi aliran kerja untuk meningkatkan kecekapan dan kos operasi.
“Namun, mereka juga memberi amaran pentingnya tadbir urus AI yang beretika, bagi memastikan integriti data, pengawasan manusia, dan pelaksanaan yang bertanggungjawab,” katanya.