KUCHING: Tujuh majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak telah melaksanakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak dengan menubuhkan Majlis Kanak-kanak, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, PBT itu ialah MBKS, DBKU, BDA, SMC, MPP, MPKS dan MCC dan insiatif berkenaan mendapat sokongan UNICEF dan Kerajaan Sarawak.
“Inisiatif itu memberi kuasa kepada kanak-kanak berkongsi pendapat mengenai cara membina bandar yang selamat, lebih inklusif dan menyayangi,” katanya berucap pada Seminar Kaunselor Sarawak 2025 di sini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan seminar tersebut.
Beliau berkata, dalam tempoh baharu ini, PBT hendaklah terus meningkatkan transformasi dan inovasi untuk mewujud bandar pintar dan mampan.
Di bawah strategi pembangunan pasca Covid (PCDS) 2030, beliau berkata, PBT memain peranan penting dalam memacu kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, tambahnya, PBT juga harus melaksana tadbir urus digital, infrastruktur hijau, dan penyampaian khidmat berasaskan masyarakat termasuk sistem e-council, menggalak bangunan cekap tenaga dan sesi libat urus dengan masyarakat dalam membuat keputusan.
PBT, katanya, memain peranan penting menghubungkan kerajaan dengan rakyat dan kaunselor adalah suara masyarakat di peringkat akar umbi.