Tujuh penempatan bakal nikmati faedah naik taraf Jalan Padawan Fasa Satu

PADAWAN: Usaha menaik taraf Jalan Padawan Fasa Satu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan akses, keselamatan serta pembangunan ekonomi tempatan bagi lebih 6,000 penduduk di kawasan sekitar.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek itu akan memanfaatkan penduduk di tujuh penempatan utama iaitu Kampung Mundai, Simpok, Peraya, Stabut, Kirian, Sira dan Pekan Teng Bukap.

“Projek ini bukan sekadar menaik taraf jalan raya, tetapi turut menambah baik struktur keseluruhan jajaran yang sebelum ini menghadapi cabaran dari segi cerun dan selekoh,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan hari ini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sr Roland Sagah Wee Inn, serta Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu membambah, projek bernilai hampir RM74 juta itu kini berada pada tahap 35.89 peratus siap.

Ia bermula Februari 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027 selepas semakan semula jadual pelaksanaan dilakukan bagi memastikan mutu kerja mencapai piawaian JKR.

“Skop kerja melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 14.9 kilometer (KM) mengikut piawaian JKR R3, selain penambahbaikan sistem saliran, pembinaan struktur pembetung konkrit bertetulang, kerja pemulihan cerun serta pemasangan kemudahan baharu termasuk lampu jalan, papan tanda dan lampu isyarat jenis P-Turn bagi keselamatan pengguna,” katanya.