KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menunggu keputusan mahkamah mengenai hak negeri ini terhadap sumber minyak dan gas.
“Tunggu mahkamah, tunggu mahkamah,” menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata demikian ketika mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen pada 26 Januari lalu.
Azalina berkata: “Bagaimanapun, MA63 tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, dan ia juga tidak mentakrifkan peranan entiti petroleum seperti Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) atau Petroleum Sarawak Bhd (Petros)”.
Sementara itu, Abang Johari juga mendedahkan Sarawak sedang menilai pengunaan sistem satelit CubeSats yang terapung di angkasa dalam pemantauan persekitaran dan tanah di seluruh negeri ini.
Jelasnya, satelit ini mampu mengambil karakter tanah seperti paya bakau dan aliran air bagi mendapatkan data tepat bagi membina kolam tadahan air di kawasan terjejas banjir.
Bagi tujuan itu, kerajaan jelas Premier akan menilai implikasi kos serta perkara teknikal mengenai CubeSats khususnya melibatkan jangka hayat sistem tersebut yang hanya bertahan empat ke lima tahun sahaja.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Penasihat Borneo Business Connect Sdn Bhd Jeneral (B) Tan Sri Dato Sri Affendi Buang.
