TYT bakal rasmi Seminar Fatwa Peringkat Sarawak di Sibu

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1447H/2025M di Astana Negeri di sini, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi mengetuai rombongan yang turut disertai Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin dan beberapa pegawai kanan Jabatan Mufti Sarawak dalam kunjungan hormat itu.

Kunjungan tersebut sebagai pengenalan rasmi dan laporan persiapan akhir menjelang penganjuran Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1447H/2025M yang dijadual berlangsung pada 16 Oktober ini di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu.

Seminar bertemakan “Fatwa Berautoriti Ummah Lestari” itu akan dirasmikan oleh Tun sendiri merupakan acara kemuncak siri Seminar Fatwa Peringkat Bahagian anjuran Jabatan Mufti Sarawak sempena sambutan 70 Tahun Majlis Islam Sarawak (MIS).

Seminar itu bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap fatwa sebagai panduan hukum berautoriti, selain menjadi wadah perkongsian ilmu antara ulama, akademik, pentadbir agama dan masyarakat.

Antara pengisian utama termasuk pembentangan kertas kerja, sesi perkongsian ilmiah, majlis perasmian dan pameran Jabatan Mufti Sarawak.

Penganjuran seminar ini dijangka dapat memperkukuh peranan institusi mufti sebagai sumber autoriti hukum di Sarawak, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ummah berilmu dan lestari berpaksikan syariat Islam.