KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut diketuai Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, yang juga PengerusiJawatankuasa Induk LBAS 2025.
Kunjungan itu bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Makan Malam LBAS 2025, yang akan diadakan pada 25 Oktober ini Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Program tahunan anjuran Sukarelawan Sarawak itu merupakan platform untuk menghimpunkan anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan, jaringan sosial dan semangat kenegeriaan dalam kalangan rakyat Sarawak dalam kalangan perantauan.
Majlis malam itu turut menjadi medan ramah mesra antara masyarakat dan pimpinan tertinggi negeri, selain mengangkat semangat Segulai Sejalai dalam kalangan warga Sarawak di luar negeri.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi serta Ahli Parlimen Serian Dato Sri Dr. Richard Riot Jaem.